Peugeot 208 mobil kompak premium


Peugeot 208 kompak premium

Bentuk kecil dan mudah dikendalikan adalah ciri utama pada kereta kategori kompak yang boleh dianggap sebagai pengangkutan bijak bagi mereka yang menetap di kawasan bandar.

Jika dilihat pemanduan masa kini, jarang mereka berkongsi kenderaan ke tempat kerja, sebaliknya majoriti memandu berseorangan.

Biarpun harga minyak dikatakan murah ketika ini, adakah berbaloi jika memandu kereta 'besar' dengan bersesaran tinggi yang boleh dianggap membazir.

Justeru penggunaan kereta kompak semakin meningkat, malah turut menular ke Malaysia yang sebelum ini popular bagi masyarakat negara maju seperti di Eropah dan Jepun.

Jika dihitung, banyak pilihan kereta kategori itu mula diperkenalkan dengan pelbagai ciri dan kelebihan masing-masing.

Bagi jenama Perancis, Peugeot menawarkan keluarga kompak terbarunya menerusi model supermini iaitu 208 yang tampak premium, selain bentuknya lebih menawan.

Rupa bentuknya bergaya moden, selain memiliki karakter unik dengan garisan membaluti badannya.

Justeru, tidak hairan Peugeot 208 yang dilancarkan di peringkat global pada Mac 2012 menerima pujian media permotoran antarabangsa seperti TopGear United Kingdom.

Selain tampak kompak, ia menerapkan wajah sporty, terutama perumah lampu depan dengan kombinasi LED serta bampar sedikit lebar ke bawah untuk kelihatan garang.

Antara aspek menjadi tarikan penulis adalah bingkai krom pada bahagian bawah tingkap pintu depan dengan memberi karakter menarik selain gambaran jelas reka bentuknya yang menawan.

Namun, ini bukan kali pertama memandu Peugeot 208. Tahun lalu, penulis pernah menguji Peugeot 208 empat pintu dan ruangan Pandu Uji pada minggu ini pula diberi peluang memandu varian dua pintu.

Tiada perbezaan ketara antara kedua-dua varian itu kecuali pintu empat atau dua. Cuma yang penulis boleh luahkan varian pintu dua ini tampak lebih sporty serta dipadankan dengan rim aloi Oxygen bersaiz 17 inci.

Kereta ini dibina menggunakan platform Satu Kumpulan PSA lebih kompak, ringan, ruang luas dan aerodinamik.

Dibandingkan dengan model Peugeot 207, kereta ini lebih ringan iaitu kurang daripada 1,000 kilogram.

Berkongsi prestasinya pula, ia sudah memadai dengan kapasiti enjin 1.6 liter yang tidak dibantu sistem turbo atau sebagainya, tambahan pula beban beratnya kurang sedikit berbanding Peugeot 207.

Dengan enjinnya menjana kuasa maksimum sehingga 122 PS, ia mampu memberi prestasi pemanduan mantap.

Setakat memecut melebihi 160 kilometer sejam (km/j) ia tidak memberi masalah, malah tetap stabil pada kelajuan itu.

Pengendaliannya di jalan persekutuan, terutama laluan berselekoh, memberi tindak balas tepat dan cepat tanpa memerlukan pergerakan stereng yang banyak.


Sterengnya yang bersaiz kecil turut memberi keyakinan dan keseronokan untuk mengendalikannya, lebih-lebih lagi transmisi empat kelajuan automatik boleh ditukar secara manual.

Biarpun transmisi empat kelajuan itu mungkin dianggap ketinggalan berbanding kenderaan jenama lain, secara peribadi ia cukup untuk pemanduan santai dan bersahaja.

Kehebatan ruang dalamannya juga boleh dilihat menerusi panel meternya yang tampak premium, selain pencahayaan sedikit terang.

Ia juga menerima sentuhan kenderaan mewah apabila papan pemukanya menggunakan material lembut dengan mengikuti jejak model premium Peugeot lain.

Gabungan teknologi dalam kabinnya hebat apabila dilengkapi Skrin Sesentuh Berwarna HD Interaktif seakan-akan terkeluar dari papan pemukanya.

Penulis sangat teruja menggunakannya kerana skrinnya yang besar, sekali gus tidak sukar mendengarmuzik kegemaran selepas disambung dengan USB atau dipasangkan dengan cakera padat.

Skrin itu juga digabungkan dengan sistem audio berprestasi tinggi jenama Arkamys 3D yang disambung enam pembesar suara serta dilengkapi bumbung panorama.

Malah, kerusi ala 'bucket' tampak sporty serta memberi keselesaan sepanjang penulis memandu uji model ini, baru-baru ini.

Ketika penulis cuba duduk di kerusi belakangnya, ternyata ia memberi ruang kaki dan kepala yang selesa kerana menggunakan konsep kecil di luar tetapi luas di dalamnya.

Namun seperti kebiasaan kereta pintu dua, ia kurang mesra bagi penumpang untuk memasuki ruang kabin di tempat duduk belakang.

Walaupun kereta kompak, ia masih memenuhi piawaian keselamatan terbaik apabila didatangkan dengan enam beg udara dan Program Kestabilan Elektronik (ESP), Sistem Brek Antikunci (ABS) serta Bantuan Agihan Brek.

Harga Peugeot 208 varian dua pintu dijual pada RM95,888 atas jalan, termasuk insurans dan ia lebih mahal berbanding empat pintu.


SPESIFIKASI

PEUGEOT 208


- ENJIN: 1,598 cc, empat silinder sebaris, DOHC 16 injap VTi

- KUASA MAKSIMUM: 122 PS pada 6,000 rpm

- KUASA TORK: 160 Nm pada 4,250 rpm

- TRANSMISI: Empat kelajuan automatik dengan triptonik dan Mode Sport

- CIRI KESELAMATAN: Enam beg udara, ESP, ABS dan Bantuan Agihan Brek

- HARGA: RM95,888 di atas jalan dengan insurans

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Isu Semasa


Hiburan