Kenali Proton Iriz : Global Small Car Pertama Proton


Iriz cahaya di hujung terowong Proton

Proton Iriz yang dijangka menjadi nama model kompak terbaharu Proton bagi menggantikan Savvy, disasarkan menjadi pencetus perubahan tanggapan pengguna terhadap Proton.

Model itu yang dibangunkan dengan kod P2-30A, GSC (Global Small Car) dijangka dilancarkan hujung bulan ini sesudah beberapa kali penundaan, disasar menjadi pemangkin ke arah perubahan positif Proton sama ada daripada aspek kualiti, keselamatan dan peningkatan jualan.

Selepas terpalit dengan isu kualiti kenderaan di bawah par dan khidmat pusat servis yang tidak cekap serta kurang mesra pelanggan, kalangan penganalisis dan pakar industri seperti sudah hilang keyakinan bahawa Proton akan bangkit kembali menjadi pemain utama.

Sejak membantu Malaysia menjadi negara ke-11 dunia yang mempunyai keupayaan mengeluarkan kereta daripada rekaan hingga siap, reputasi Proton merudum sedikit demi sedikit selepas Saga pada 1985 apabila mengeluarkan model sendiri selepas itu, bermula Iswara diikuti Waja dan GEN2.


Daripada isu kualiti komponen termasuk paling popular masalah tingkap kuasa sehingga menjadi bahan lawak nasional, nasib Proton berubah sehingga tidak lagi menjadi kebanggaan rakyat dan jualan menyederhana. Akibatnya kedudukan Proton sebagai pengeluar nombor satu Malaysia dirampas Perodua.

Bagaimanapun, komitmen Proton untuk berubah memang ketara dan sejak Preve dilancarkan, sudah berbekas dalam kalangan pengguna bahawa Proton semakin mengukuhkan tapak dalam aspek keselamatan. Preve dan diikuti Suprima S dengan penarafan keselamatan NCAP 5 bintang, rekaan menarik, komponen berkualiti dan tanda harga yang bernilai untuk wang menunjukkan Proton bersungguh-sungguh untuk kembali sebagai pemain utama.

Justeru, Iriz yang disasar menyangi Myvi dan dijangka dipadankan dengan enjin 1.3 liter dan 1.6 liter VVT serta rekaan sangat cantik dan komponen berkualiti, dijangka mengukuhkan lagi iltizam Proton untuk kembali sebagai pemain utama.

Seperti cahaya di hujung terowong, Proton dengan kereta cantik dan komponen berkualiti serta enjin moden VVT diyakini akan menambat kembali keyakinan pengguna tempatan dan antarabangsa terhadap Proton.

Walaupun isu kualiti binaan tidak dijangka bebas sepenuhnya, tetapi seperti dikatakan pakar automotif yang juga Pengarang funtasticko.net, Shamsol Yunus; "pengguna mungkin kurang marah kepada Proton jika model baharu nanti masih ada sedikit sebanyak isu kualiti kerana kereta itu memang cantik."

"Mengambil contoh Kia ketika baru bertapak di Malaysia, pembeli Forte tidak terlalu membuat bising dengan beberapa isu kualiti kerana kereta itu memang cantik," katanya yang sudah melihat sendiri model baharu itu.

Bagi Shamsol dengan menyandarkan kepada kereta cantik, rekaan terkini dan komponen berkualiti, reputasi Proton akan berubah sepenuhnya apabila khidmat selepas jualan di pusat servis juga mengikut rentak perubahan yang sama.

Berkongsi pandangan sama, seorang lagi pakar automotif, Hezeri Samsuri, berkata model terbaharu Proton memang cantik dan lengkap daripada aspek kualiti, keselamatan dan kemasan rekaan dan komponen.

"Tapi persoalan sekarang adakah orang (pengguna) akan membeli Proton," katanya yang juga Pengarang Top Gear Malaysia dan sudah melihat sendiri model terbaharu itu.

"Satu model ini sahaja tidak cukup untuk membawa keluar Proton daripada kemelut tanggapan negatif pengguna berhubung kualiti keluarannya," tambahnya.

Dengan mengambil kira kedudukan semasa, beliau berpendapat, Proton perlu membuat pertimbangan menyeluruh untuk mengenai barisan model yang akan diperkenalkan supaya ia boleh menjadi pemain antarabangsa dan tidak sekadar mengeluarkan produk untuk bersaing dengan Perodua Myvi, yang juga masih 'jaguh kampung'.

Bagi Penganalis Kanan Sektor Automotif MIDF Research, Annuar Rahman, model baharu itu adalah model sangat penting untuk membantu pengguna mengubah persepsi terhadap Proton.

"Reputasi Proton masih lemah, jadi ia perlu memastikan pelancaran dan harga tepat pada masanya dengan jentera yang benar-benar berkualiti.

"Model baharu juga menjadi ukuran sejauh mana perubahan yang mampu dibawa DRB-Hicom sebagai pemilik baharu Proton," katanya.

Seorang penganalisisdi firma broker tempatan yang tidak mahu dikenali kerana sensitiviti membabitkan Proton, pula berpendapat Iriz menjadi penentu kepada kelangsungan Proton.

"Jika Iriz tidak dapat diterima pasaran terutama kerana aspek kualiti, sukar untuk Proton kembali bertapak kukuh dalam pasaran.

"Proton bukan hanya perlu dilihat memberi perhatian aspek kualiti dan keselamatan, tetapi iltizam itu mesti diterjemahkan menerusi produknya. Jika model kompak yang disasarkan melengkapkan segmen tawaran produk tidak berjaya, Proton akan mengambil masa lebih lama bagi memenangi kembali hati pengguna," katanya.

Pendapat hampir sama diutarakan Ketua Penyelidik di BIMB Securities, Kenny Yee yang berpendapat jika model terbaharu benar-benar dapat menterjemahkan iltizam kualiti dan aspek keselamatan yang hendak dijelmakan Proton, ia tidak cukup untuk memenangi 'perlumbaan' sengit memenangi kembali kepercayaan pengguna.

Bagi beliau, Proton perlukan lebih banyak model baharu dengan ciri kualiti dan aspek keselamatan yang konsisten untuk kembali menerima kepercayaan dan keyakinan pengguna.



Ini kerana katanya, Proton akan bersaing dengan pemain antarabangsa yang tampil dengan barisan produk yang menarik dan tanda harga berdaya saing serta sentuhan kualiti yang sudah dipercayai.

Selain jenama antarabangsa yang semakin agresif mengukuhkan tapak di Malaysia, Proton juga akan bersaing sengit dengan Perodua yang tampil dengan model kompak terbaharu Axia, model EEV pertama tempatan yang kini sudah boleh ditempah dengan harga dari RM24,900 seunit.

Perodua yang akan mempunyai ekonomi bidangan menerusi dua kilang pengeluaran dengan keupayaan pengeluaran tergabung lebih 500,000 unit setahun, dijangka mengeluarkan model dengan kemasan optimum pada tanda harga lebih rendah berbanding Proton.

Pengerusi Proton Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga bekas Perdana Menteri sebelum ini dilaporkan berkata model terbaharu nanti akan datang dengan tanda harga lebih tinggi kerana datang dengan kualiti lebih tinggi.


Iriz hampir melengkapkan senarai barisan model Proton. Justeru, penerimaan terhadap model ini akan menjadi asas sandaran untuk pengeluar kereta nasional itu menjadi pemain antarabangsa. Mungkin itu opsyen besar yang ada bagi Proton kerana ia tidak seharusnya hanya berharap kepada 'magis' Tun M semata-mata.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Isu Semasa


Hiburan