Ini adalah informasi yang paling dinantikan oleh kita semua. Foto fakta ringkas spesifikasi Proton Compact Car (PCC) telah dimuatnaik ke laman web keretamoto.com. Pelbagai ciri-ciri menarik dan canggih bakal dimuatkan dalam kereta kompak terbaru Proton ini.
Seperti mana yang kita ketahui, PCC akan dijana oleh enjin NFE yang merupakan varian terbaru daripada keluarga enjin CAMPRO. 2 versi enjin NFE bersesaran 1.3 liter dan 1.6 liter bakal menjadi nadi utama PCC. Untuk versi produksi enjin NFE bakal dikenali sebagai VVT kerana ia dilengkapi dengan teknologi tersebut, selain ciri lain seperti Smart Alternator dan Maniverter (Manifold & Catalytic Converter). Secara kasarnya boleh la dikatakan enjin NFE ini adalah versi CFE tanpa pengecas turbo.Kali ini Proton memilih BOSCH untuk membekalkan ECU/EMS untuk enjin NFE, sebelum ini komponen tersebut dibekalkan oleh Continental. Difahamkan pihak BOSCH telah mengenal pasti kelemahan ECU sebelum ini dan telah menaiktarafnya supaya lebih baik. Enjin NFE akan dipadankan dengan pilihan transmisi manual 5-kelajuan (MT+) dari Getrag dan transmisi CVT2+ dari Punch Motive. Buat pertama kalinya, Proton memperkenalkan EPS (Electronic Power Steering) dalam produk keluarannya dan PCC adalah model tersebut.
Sistem pengendalian Proton atau lebih dikenali sebagai Proton Ride & Handling, masih menjadi taruhan utama. PCC bakal mempunyai sistem pengendalian yang lebih mantap dengan topang McPherson ditala dengan lebih jitu selain penggunaan Torsion Beam untuk gandar belakang untuk memastikan kereta kompak ini mempunyai ruang yang lebih luas. PCC juga akan dilengkapi pelbagai ciri-ciri keselamatan yang kebiasaannya hanya dijumpai pada model berharga lebih mahal, antaranya seperti enam beg udara, ABS, EBD, TCS, ESC, HBA dan HHA.
Selain ciri-ciri tersebut, Proton masih mengekalkan penggunaan struktur badan RESS (Reinforced Safety Structure) yang menggunakan besi yang dibentuk dengan teknologi Hot Press Forming. Terbukti kekuatan struktur besi yang menggunakan teknologi tersebut dengan penarafan 5 bintang ASEAN NCAP untuk model Preve dan Suprima S yang lebih awal menggunakannya. Untuk menambahkan lagi ciri keselamatan PCC ia dilengkapi dengan tali pinggang keledar 3 titik, ISOFIX dan top theter. Tidak hairan kalau PCC juga bakal mencapai penarafan 5 bintang ASEAN NCAP kerana ujian telah dilakukan baru-baru ini di makmal MIROS.
PCC bakal menjadi model kedua dilengkapi dengan lampu LED siang (DRL) selepas Suprima S. Ia juga dilengkapi sistem kunci pintar, sensor undur dengan kamera dan tingkap kuasa anti-perangkap (untuk pemandu sahaja). Selain itu ciri-ciri elektronik pintar seperti peringatan servis, sistem navigasi mutimedia dan ABCM (Advanced Body Control Module) akan digunapakai pada model ini untuk mengurangkan penggunaan wayar dalam kereta yang secara tidak langsung menjadikan PCC lebih ringan.
Jadi kesimpulannya PCC yang bakal bersaing dalam segmen B dengan beberapa pencabar yang hebat seperti Perodua Myvi, Suzuki Swift, Ford Fiesta, Volkswagen Polo, Honda Jazz dan Peugeot 208 akan menjadi perhatian selepas ini. Dikhabarkan anggaran harganya adalah sekitar RM40,000 sehingga RM60,000 mampu menggugat ketuanan Perodua Myvi yang telah lama mendominasi jualan hatchback kompak segmen B di Malaysia. Bagi saya biarlah PCC mendapat sambutan hangat di pasaran luar kerana ia adalah satu-satunya cara untuk mengeluarkan Proton dari kepompong “Jaguh Kampung!”
* Dengar cerita dikalangan vendor memanggil model PCC dengan nama IRIZ. Teringat lirik lagu Iris nyanyian Awie “Cintaku jika kau lihat pada bintang….” hehehe…
Smart Alternator: Alternator akan off bila battery dah full charge. Tahan lama la bateri pasni. Byk lg function yg gempak ada dlm keta nih. Tunggu....
Errr... ECU dah tukar kepada BOSCH. nmpk gaya mcm lg cun je pasni tak yah nk tune bagai nk kasi power. ekekeke...