VOLKSWAGEN Malaysia telah memperkenalkan promosi pembiayaan mudah untuk pelanggannya untuk semua model Polo bermula 21 Februari melalui kempen ‘Polo Goes Zero’.
Dengan memperkenalkan kempen ‘Polo Goes Zero’ ini pembeli boleh memiliki kereta model Volkswagen Polo dan Volkswagen Polo Sedan tanpa faedah dengan bayaran pendahuluan dan bayaran bulanan serendah dari hanya RM999 sebulan selama tujuh tahun.
Menurut Pengarah Pemasaran Volkswagen Malaysia, Martina Berg berkata, kempen ini akan menekankan aspirasi jenama Volkswagen supaya lebih dekat dengan rakyat Malaysia dan mereka perlu merasai pengalaman memandunya.
“Kemuncak kempen ‘Polo Goes Zero’adalah semasa karnival yang akan diadakan di Bukit Jalil dari 6 hingga 8 Mac akan datang di mana pelanggan berpeluang uji pandu model Volkswagen pilihan mereka.
“Tawaran ini disasarkan kepada pembeli baharu yang merupakan golongan profesional muda di bandar,” katanya melalui satu kenyataan media baru-baru ini.
Volkswagen Polo 1.6 dan Polo Sedan, mempunyai tiga fungsi utama yang sama iaitu empat tingkap automatik dengan fungsi anti-sepit, transmisi auto enam kelajuan, dan ‘Intelligent Crash Response System’ (ICRS).
Kedua-dua model Polo ini boleh didapati dalam lima warna berbeza iaitu Candy White, Flash Red, Pepper Grey, Reflex Silver dan Deep Black pada harga RM89,888 bagi Polo 1.6 dan RM91,888 untuk Polo Sedan.