PERODUA membuka tempahan mulai esok bagi model terbaharunya, PERODUA Axia, kenderaan cekap tenaga (EEV) pertama Malaysia yang dijual pada harga bermula RM24,900.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Aminar Rashid Salleh, berkata model terbaharu dengan penjimatan bahan api dipandu sehingga 21.6 kilometer (km) bagi setiap liter turut ditawarkan dengan fungsi unik dan harga yang berpatutan."Kami mengalu-alukan seluruh rakyat Malaysia untuk hadir ke 180 bilik pameran jualan kami di seluruh negara untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai tawaran terbaharu dan paling menarik dari kami.
"Tempahan bagi model PERODUA Axia adalah RM250 dan RM300 bergantung kepada varian," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Dijadualkan untuk pelancaran tidak lama lagi, PERODUA Axia adalah model generasi akan datang yang dihasilkan menerusi pemodenan PERODUA dan dari kilang pengeluaran mesra alam terbaharu syarikat berkenaan.
PERODUA Axia ditawarkan dengan empat varian iaitu Standard E, Standard G, Special Edition dan Advance.
Semua varian didatangkan dengan jaminan lima tahun, konsep pertama yang ditawarkan PERODUA.
Penggunaan nama "Axia" (disebut a-zee-a) dipilih hasil gabungan perkataan Asia, sementara abjad "X" menunjukkan nombor 10 dalam angka Roman yang mewakili model ke-10 yang dikeluarkan PERODUA.
Dihasilkan menerusi kilang mesra alam baharu milik PERODUA, kemudahan itu antara lain berfungsi menghasilkan formula semburan cat berasas air yang kurang kasar berbanding cat berasaskan pelarut yang digunakan ketika ini.
"Kami percaya bahawa PERODUA Axia adalah model berdaya saing di rantau ini, itulah sebabnya perkataan "Asia" digunakan selain ia menjadi satu standard baharu kepada kami.
"Standard ini boleh dikategorikan kepada empat garis utama iaitu mesra alam, ruang luas untuk kereta kompak, pemanduan mudah dan ekonomik dari segi kos pemilikan," kata Aminar Rashid.
Dengan slogan "Your Smart Move", model itu mewakili usaha PERODUA menjadi lebih berdaya saing di peringkat global dari segi gaya, fungsi dan harga.