Duti eksais menentukan naik turun harga kereta

Kerajaan bersedia untuk menurunkan duti eksais yang secara langsung boleh menurunkan harga kereta jika kedudukan fiskal negara membenarkan.


Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (gambar) berkata, walaupun perkara itu tertakluk kepada Kementerian Kewangan, tetapi kementeriannya komited untuk merealisasikan penurunan harga kereta dalam Dasar Automotif Nasional (DAN) 2014.

''Buat masa ini, tiada kemungkinan untuk kerajaan melalui Kementerian Kewangan menurunkan duti eksais.

''Bagaimanapun, jika terdapat pendapatan daripada sektor lain yang boleh menjadi alternatif kepada hasil duti tersebut, tidak mustahil (harga) boleh diturunkan,'' kata beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar semasa mengumumkan Dasar Automotif Nasional 2014 di sini hari ini.

Tahun lalu, kerajaan menyasarkan untuk mencapai sasaran defisit fiskal pada paras tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada 2015 dan bajet berimbang pada 2020.

Jika sasaran berkenaan diambil kira, potensi untuk duti eksais dikurangkan menjelang 2020 adalah cerah.

Mustapa menjelaskan, kementeriannya sudah membangunkan rangka kerja pengurangan harga bagi mengurangkan harga kereta secara berperingkat-peringkat antara 20 dan 30 peratus sehingga tahun 2017.

Rangka kerja itu meliputi pelbagai langkah, dan faktor asas ialah meliberalisasikan industri automotif tempatan, tambah beliau.

Langkah mengurangkan harga kenderaan juga merupakan akujanji Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 tahun lepas yang kemudiannya berjaya membentuk kerajaan.

Sementara itu, bagi mengurangkan kebimbangan rakyat mengenai peraturan jangka hayat kenderaan (ELV), kerajaan telah mengambil keputusan untuk tidak mewajibkannya.

"Proses pemeriksaan kenderaan akan dilakukan secara sukarela oleh pemilik dan perkhidmatan berkenaan tidak dimonopoli oleh mana-mana syarikat seperti sekarang," ujarnya.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Isu Semasa


Hiburan