Model terbaru Honda Odyssey

Honda Malaysia lancar Odyssey

klik 👉 Follow Telegram GearTop (large-bt)


Honda Malaysia lancar Odyssey

Pada 1994, Honda menggemparkan industri automotif dunia dengan memperkenalkan kenderaan pelbagai guna (MPV) menerusi Odyssey untuk menawarkan ruang kabin yang luas selepas ia dibangunkan daripada kereta sedan.

Dalam tempoh 19 tahun itu juga sudah empat generasi model MPV menguasai pasaran global dan varian paling terbarunya diperkenalkan dua bulan lalu di Jepun.


Picture
PENGARAH Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama (kanan) bersama Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia, Roslan Abdullah melancarkan Honda Odyssey terbaru di Setia City Conversation Centre, Shah Alam. - Foto Rohanis Shukri

Selepas dua minggu pelancaran di negara asalnya, Honda Odyssey generasi kelima itu dikejutkan untuk pasaran tempatan apabila diperkenalkan di Malaysia sempena Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), baru-baru ini.

Model terbaru Honda Odyssey tampil dengan ciri berbeza berbanding varian terdahulu kerana lebih praktikal bagi sebuah MPV.

Perubahan itu dibuat selepas jurutera Honda menerima maklum balas daripada tinjauan orang ramai berhubung kehendak mereka terhadap sebuah MPV.

Jika dibandingkan de­ngan empat varian sebelum ini, Honda Odyssey model terbaru hadir dengan pintu gelongsor dan bentuk yang sedikit tinggi.

Ketinggiannya dilebih­kan kepada 0.105 meter (m), manakala panjang­nya ditambahkan 0.03 m jika dibandingkan dengan model generasi keempat.

Panjang rodanya juga berbeza dengan melebihi 0.07 m menjadikan jumlahnya 2.9 m, bertujuan memberi keluasan dalam ruang kabin secara optimum.
Ciri rekaan terbaru itu ternyata memberi impak positif dalam menghasilkan MPV untuk menawarkan keselesaan kepada penumpangnya terutama di bahagian belakang.

Bagi merasai ciri istimewanya itu, penulis diberi peluang memandu uji kenderaan berkenaan di Litar Twin Ring Motegi, Jepun, yang terletak kira-kira 150 kilometer dari Tokyo.

Kehadiran penulis di litar itu untuk memenuhi aktiviti sampingan anjuran Honda Malaysia sempena liputan Pameran Motor Tokyo, baru-baru ini. Satu aspek yang penulis ingin perkatakan keistimewaan pada model ini ialah kerusi bahagian kedua penumpang belakang. Ia tampak seperti kerusi kapal terbang kelas perniagaan dengan struktur posisi boleh diubah mengikut keselesaan.

Ia mungkin berlainan daripada model lain kerana posisinya boleh diubah secara menyeluruh bermula dari bahagian kaki dan belakang, selain menggunakan material yang sedikit empuk, sekali gus mampu membuat seorang terlena ketika duduk di kerusi itu.

Malah, cara untuk masuk ke dalam ruang kabinnya mudah kerana kedudukannya yang rendah serta dipadankan dengan pintu gelongsor.


Kerusi barisan ketiga pula boleh dilipat sepenuh­nya dan secara tidak langsung akan menambahkan ruang untuk mengisi beg. Sementara ruang kokpitnya menawarkan ciri premium, terutama reka bentuk papan pemukanya digabungkan dengan material berkualiti serta dihiasi panel seakan-akan kulit kayu.

Tombol gear terletak pada bahagian papan pemuka, sekali gus memudahkan penulis untuk mencapainya.

Berkongsi prestasinya, Honda Odyssey ini dipadankan dengan enjin terbaru daripada syarikat berkenaan iaitu Teknologi ‘Earth Dreams’ yang dikuasai kapasiti 2.4 L Dohc i-Vtec.

Ia juga menerima gabu­ngan kotak gear CVT bagi memastikan jentera ini lebih ekonomi dengan tahap penggunaan bahan api yang rendah.

Jentera ini turut me­ngikuti model Honda yang lain apabila dilengkapi mod Econ untuk mengurang­kan penggunaan minyak mengikut cara pemanduan.

Ketika memandunya, penulis dapat merasai prestasi enjinnya cukup mantap dan bersesuaian membawa beban melebihi 1,820 kilogram.

Biarpun memandu dalam tempoh singkat kerana terpaksa berkongsi dengan wakil media antarabangsa, penulis dapat rasakan jentera ini mempunyai karakter tersendiri untuk membezakan dengan MPV jenama lain.
Dengan padanan suspensi topang MacPherson di bahagian hadapan, pengendaliannya turut memuaskan hati untuk mengawal di berselekoh. Bahagian belakang menggunakan gantungan alang Torsion, menjadikannya cukup stabil.

Namun, pemanduan yang terlalu laju di selekoh tidak disarankan kerana ia sebuah kenderaan tinggi. Ia sesuai untuk kegunaan harian, namun bukannya sebuah jentera perlumbaan.
Bagi spesifikasi yang hadir di negara ini, Honda Odyssey ditawarkan dengan dua varian EX dan EXV.

Varian EXV dipadankan dengan spesifikasi penuh dan dikatakan sama de­ngan model Odyssey Absolute untuk pasaran Jepun. Antara spesifikasi tambahan pada EXV ialah lampu LED, bumbung suria hadapan, sistem kemasukan pintar, butang penghidup enjin, tempat duduk kulit dan kit badan.

Bagi ciri standard, model ini dilengkapi ciri keselamatan seperti enam beg udara, VSA, ABS, EBD dan BA.

SPESIFIKASI HONDA ODYSSEY:


Enjin: 2.4 L Teknologi ‘Earth Dreams’, DOHC i-VTEC
Kuasa Maksimum: 175 PS pada 6,200 rpm
Tork Maksimum: 225 Nm pada 4,000 rpm
Transmisi: Kotak gear CVT
Ciri Keselamatan: Enam beg udara, VSA, ABS, EBD dan BA
Harga: Bermula RM228,000


Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, and Telegram untuk mendapatkan berita Automotif terkini:
klik 👉 https://t.me/GearTop87



Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Isu Semasa


Hiburan