Waranti kereta terbatal jika gagal mematuhi jadual penyenggaraan ditetapkan

Waranti kereta terbatal jika gagal mematuhi jadual penyenggaraan ditetapkan

klik 👉 Follow Telegram GearTop (large-bt)



Kereta Jarang Guna, Pandu Jarak Dekat - Kena Servis Ikut Masa atau 'Mileage'?

Abang, kalau ikut mileage, kereta saya patut servis setiap 10,000km. Tapi, saya jarang bawa kereta. Betul ke servis kereta kena ikut mileage atau bulan, atau mana satu sampai dulu. Boleh tak saya servis ikut mileage saja. Kereta tak jalan sangat pun. Waranti pula macam mana? - Mawar Rasheed (bukan nama sebenar)

Terima kasih kerana bertanya. Sebenarnya ada ramai pemilik kereta macam saudari yang beli kereta tetapi jarang pandu atas pelbagai alasan.

Antaranya, lebih cepat ke pejabat kalau bermotosikal, atau naik pengangkutan awam, atau tumpang kereta kawan, ataupun sebab tidak tahan menanggung kos minyak dan servis.


Tidak kisahlah apapun alasan saudari kerana di penghujungnya saudari jugalah yang perlu menempuh suka duka bersama kereta sendiri.

Begini,

KERETA MEMANG PERLU DISERVIS

Alasan utama kenapa kereta perlu diservis atau disenggara adalah untuk menjaga kondisi kereta supaya dapat terus beroperasi pada tahap optimum. Sebagai objek yang memang dicipta untuk bergerak, kereta terdedah kepada masalah haus dan lusuh (wear and tear). Jadi, ia perlu sentiasa diperiksa dan diservis secara berkala berdasarkan tempoh senggara ditetapkan pengeluar.

Tetapi itu bukan bermakna, jika kereta jarang digunakan atau cuma dipandu jarak dekat, maka saudari tidak perlu menyenggara. Ingat, kereta yang terbiar lama, atau jarang dipandu bukan seperti set pinggan mangkuk yang disimpan lama dalam kabinet dapur dan cuma perlu dicuci sebelum boleh digunakan.

USIA DAN PENGGUNAAN

Sebagai makluman, masalah haus dan lusuh komponen kereta adalah berpunca daripada dua faktor: USIA atau PENGGUNAAN, dan ia boleh jadi salah satu faktor itu ataupun kedua-dua sekali. Komponen yang kerap haus dan lusuh disebabkan PENGGUNAAN adalah seperti brek cakera, pad brek, bering dan bahagian mekanikal lain. Ia bergantung kepada gaya dan kekerapan saudari memandu. Pad brek misalnya, perlu diganti apabila sudah nipis dan tempoh penukaran bagi setiap pemandu adalah tidak sama.

Logiknya, kereta yang selalu dipandu sudah tentu akan lebih cepat mengalami masalah kehausan pad brek berbanding kereta yang kurang dipandu. Ataupun, kasut yang kerap dipakai untuk berlari lebih cepat haus berbanding kasut yang cuma dipakai ketika majlis makan malam.

HAUS DAN LUSUH AKIBAT USIA

Namun, kereta juga mengalami masalah haus dan lusuh akibat USIA yang boleh kita kaitkan dengan masa. Antara komponen kereta yang mengalami masalah berkaitan usia (atau masa) adalah bendalir seperti minyak enjin dan minyak brek, termasuk bateri dan komponen berasaskan getah seperti tayar, bilah pengelap dan sesendal (bushing) suspensi.

Faktor kedua - USIA - inilah yang boleh dikaitkan dengan isu yang saudari hadapi tentang persoalan apakah kereta yang jarang digunakan atau dipandu jarak dekat perlu juga diservis mengikut jadual senggara sedangkan jarak perbatuan atau kilometer masih rendah?

Jawapan ringkasnya, YA, perlu!

Disebabkan komponen bendalir seperti minyak enjin, minyak brek, minyak gear atau seumpamanya termasuk dalam faktor haus dan lusuh akibat USIA, mahu tidak mahu saudari perlu melakukan servis. Ini kerana semua komponen tersebut mengalami proses degradasi apabila sampai tempoh masa tertentu.

DEGRADASI MENGIKUT MASA

Sebaik saja dituang masuk ke dalam kereta, bendalir sebenarnya sudah mengalami degradasi akibat proses kerja dan kehadiran bendasing seperti serbuk atau keladak besi daripada komponen mekanikal kenderaan. Campuran itulah yang perlahan-lahan menyebabkan prestasi sesuatu bendalir itu tidak lagi mampu memberikan perlindungan optimum apabila sampai jangka masa tertentu.

Saudari boleh bayangkan situasi tersebut seperti air bersih yang dibiarkan lama dalam takungan. Apabila sampai tempoh tertentu, saudari akan perasan ada keladak atau lumut di bawah dasar atau tepi takungan tersebut. Inilah yang kita namakan sebagai degradasi dan disebabkan itulah kereta saudari perlu diservis apabila tiba masa ditetapkan walaupun catatan kilometer perjalanan masih sedikit - low mileage.

Lagi contoh mudah tentang masalah haus dan lusuh akibat USIA ialah tayar. Ya, tayar kereta bukan saja perlu ditukar apabila bunga sudah botak, tetapi juga perlu diganti apabila sudah sampai hayat penggunaan - lebih kurang 3-4 tahun. Sebabnya tidak lain dan tidak bukan - degradasi. Dalam jangka masa tertentu, material getah pada tayar kereta anda akan mengalami degradasi, di mana getah tayar akan mengeras dan kurang mencengkam serta rekahan-rekahan kecil mula muncul sekeliling tayar.

Apakah saudari rasa selamat dan selesa memandu dengan tayar begitu walaupun bunga masih tebal? Sekarang, cuba kaitkan situasi tersebut dengan situasi menyenggara kereta mengikut jadual senggara walaupun kereta saudari jarang digunakan atau kurang dipandu. Jadi, ikut saja saranan pengeluar atau jurutera bertauliah!

WARANTI BATAL?

Tentang waranti, ya betul, ia boleh terbatal jika saudari gagal mematuhi jadual penyenggaraan ditetapkan pengeluar. Itulah risiko yang perlu saudari tanggung. Jika sudah habis waranti dan saudari masih berkeras mahu melakukan servis kenderaan ikut suka hati, saudari tetap perlu menanggung risiko, iaitu risiko kereta saudari tersadai tidak bermaya hingga mampu mengalirkan air mata.

Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, and Telegram untuk mendapatkan berita Automotif terkini:
klik 👉 https://t.me/GearTop87



Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Isu Semasa


Hiburan