CEO Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata ketika ditemui di majlis makan tengah hari sempena Tahun Baru Cina, tempahan model Perodua Axia yang dibuka bermula 15 Ogos 2014 yang lalu kini sudah mencecah 82,000 unit sehingga 6 Februari 2015 yang lalu.
Dari keseluruhan tempahan tersebut, 32,000 unit sudahpun diserahkan kepada pemilik dan selebihnya masih lagi dalam proses pengilangan.“Sehingga kini, kami sedang berusaha untuk menghasilkan model Axia yang sudah ditempah dan untuk stok para pengedar. Walau pun terpaksa berhempas pulas untuk menyiapkannya, namun sambutan yang amat memberangsangkan ini menggembirakan kami. Malahan ia turut membuktikan produk kami diterima oleh rakyat Malaysia,” kata Aminar.
Perodua telah berjaya membuat jualan sehingga 16,000 unit bagi bulan Januari 2015 sahaja dan ini secara tidak langsung sejajar dengan sasaran Perodua bagi mencapai unit jualan sehingga 208,000 unit bagi tahun 2015.
Perodua juga turut sedang membincangkan kemungkinan untuk menjual kenderaan Perodua yang terpakai bermula dari kawasan Lembah Klang dan ianya dianggarkan bakal bermula pada bulan Jun tahun ini.
Aminar Rashid juga memberikan petunjuk yang Perodua bakal melancarkan model terbaru tidak lama lagi, tetapi tiada kata putus dan ulasan lanjut mengenai perkara tersebut..