Pengalaman pandu uji Ford Ranger 3.2 XLT

Pengalaman pandu uji Ford Ranger 3.2 XLT

klik 👉 Follow Telegram GearTop (large-bt)


Pengalaman pandu uji Ford Ranger 3.2 XLT

NAMA Ford Ranger cukup kuat dalam segmen pasaran pacuan empat roda tempatan. Sejak dahulu lagi, faktor ketahanan dan kemampuan jentera itu menjadi tarikan kepada produk jenama dari Amerika itu. Malah, jika saya sebagai pemilik Hilux atau Navara, tentunya saya masih cuba untuk mengetahui spesifikasi yang ditawarkan Ford Ranger.

Generasi Ford Ranger terbaharu yang diperkenalkan melalui pengedar utama jenama Ford di Malaysia, Sime Darby Auto Connexion Sdn Bhd mula meraih perhatian ramai.

Dengan penampilan fizikal yang lebih tegap, moden, penawaran teknologi terkini dan pakej keselamatan lengkap mungkin mampu meletakkannya sebagai antara pilihan utama.


Sekian lama menunggu, peluang menguji Ford Ranger 3.2 XLT akhirnya kunjung tiba. 

Pertama kali menaiki jentera ini, saya tertarik dengan ruang kabinnya yang luas. Menjenguk ruangan untuk penumpang di bahagian belakang juga selesa dan luas.


Pada awalnya, saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi kepada gaya dan susun atur papan pemuka jentera pikap, sudah pasti rekaannya ringkas. 



Akan tetapi, Ranger tampil dengan rekaan lebih moden, mungkin ia diadaptasi daripada hasil penyelidikan pasaran semasa. Realitinya, ramai juga yang menjadikan kenderaan pikap sebagai pengangkutan harian keluarga.



Ford Ranger mendapat khidmat enjin diesel Duratorq TDCi 3.2 liter Variable Geometry Turbo (VGT) yang berkuasa 200PS (197 hp) dan menghasilkan tork maksimum 470 Nm. Mengikut data spesifikasi, jentera ini menawarkan penggunaan bahan api yang minimum dengan catatan serendah 8.9 liter untuk setiap 100 kilometer (km).

Saya tidak sempat menguji keupayaan Ranger dengan beban di bahagian belakang. Ford menyatakan jentera ini mampu mengangkut beban sehingga 1,227kg dan memiliki keupayaan menunda 3,350 kilogram (kg).


Pada awal pemanduan, saya mengagumi prestasi enjin turbo diesel lima silinder Ranger. 


Kotak gear enam kelajuan mudah dikendalikan walaupun sedikit pendek. Klac tidak terlalu keras seperti jentera pikap manual lain.


Sama seperti mana-mana jentera pacuan empat roda lain, ngauman enjin semasa anjakan daya pecutan awal adalah biasa. Selepas pemanduan mencapai kelajuan 70 km/j, enjin Ranger lebih senyap dan tenang. 



Konfigurasi enjin lima silinder ternyata memberi perbezaan daripada aspek penyampaian kuasa berbanding enjin diesel empat silinder biasa.



Pengendalian stereng cukup mudah dan ringan walaupun bentuk fizikalnya agak besar.



Walaupun memandu sebuah trak, pengendaliannya tidak banyak beza dengan memandu kereta biasa.

Menukar kepada mod 4WD dengan menggunakan sistem elektronik Shift-On-The-Fly yang disediakan, cengkaman keempat-empat tayar dapat dirasakan serta merta. 


Menariknya, sistem elektronik tersebut membolehkan penukaran sistem 2WD kepada 4WD dapat dilakukan dengan mudah walaupun sedang bergerak sehingga pada kelajuan 120km/j.


Penggunaan di lebuh raya pula membuktikan Ford berjaya mengurangkan kadar bunyi bising pergerakan tayar dan keadaan di luar ke dalam ruang kabin. Kuasa enjin sempurna dan ada ketikanya, saya tidak menyedari kelajuan sudah mencecah 150 km/j.


Kadangkala saya terfikir bagaimana Ford mampu menghasilkan jentera pacuan empat roda yang mempunyai pengendalian yang hampir sama dengan kereta biasa. Malah, Ranger lebih baik daripada aspek pengendalian berbanding sesetengah jenis kereta yang hanya mengutamakan jualan daripada nilai pembelian.


Ketika saya mengendalikan di jalan berliku, penggunaan stereng tepat dan tidak terasa berat setiap kali mengubah haluan. Respons daripada pendikit untuk mengasak jumlah tork pula cemerlang dalam menghasilkan daya pecutan.



Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan prestasi, reka bentuk yang moden dan padat dengan sistem sokongan elektronik dan ciri keselamatan seperti sistem ABS dan EBD sebagai ciri standard.





Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, and Telegram untuk mendapatkan berita Automotif terkini:
klik 👉 https://t.me/GearTop87



Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Isu Semasa


Hiburan