PROTON, PERODUA galas cabaran
PELANCARAN dua model kereta oleh perusahaan automotif nasional, PERODUA dan PROTON bagi menghadapi industri automotif dunia yang kompetitif dan sedang berkembang pesat memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam mentransformasi industri automotif tempatan untuk menerobos pasaran global tahun 2015 dengan lebih bergaya.
Pada 16 September lalu, PERODUA melancarkan kereta Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) Model Axia pada harga mampu milik bermula RM24,900. Model ini didatangkan dengan jaminan lima tahun, konsep pertama ditawarkan PERODUA.Ini adalah model kereta ke-10 dilancarkan oleh PERODUA sejak pelancaran model kereta pertama PERODUA Kancil pada tahun 1994. PERODUA adalah perusahaan kereta Malaysia kedua selepas PROTON. Sehingga kini, PERODUA melahirkan beberapa model antaranya, Rusa (1996), Kembara (1998-2008), Kenari (2002), Kelisa (2001), Myvi (2007), Viva 2007, autica (2008) dan Alza (2009).
Terkini, kereta Axia mempunyai ciri-ciri Automotif Teknologi Hijau. Langkah PERODUA perlu dipuji kerana menitikberatkan hal teknologi hijau, seperti kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Aminar Rashid Salleh, model terbaharu ini amat menjimatkan bahan api jika dipandu mencapai 21.6 kilometer (km) bagi setiap liter.
Penulis mengamati Axia yang dihasilkan menerusi pemodenan PERODUA dari kilang pengeluaran mesra alam, antaranya menghasilkan formulasi semburan cat berasaskan air dan dari segi enjin penggunaan sistem automasi pada paras tinggi yang meningkatkan kualiti, yang pada masa yang sama mengurangkan kos.
Model berdaya saing
Axia yang berdasarkan gabungan perkataan Asia dan X yang menjadi nombor 10 dalam angka Roman adalah model berdaya saing di rantau ini kerana empat ciri utama iaitu mesra alam, ruang luas untuk kereta kompak, pemanduan mudah dan ekonomik dari segi kos pemilikan.Bersaing rapat, PROTON pula melancarkan model Iriz pada 25 September tahun 2014. Model ini memaparkan model serba baharu dengan reka bentuk menarik dan pelbagai ciri keselamatan seperti 6 beg udara (varian premium), kerangka yang amat kukuh dengan penggunaan teknologi Hot Press-Formed (HPF) dan Utra High Strength (UHSS) di beberapa bahagian utama.
Iriz adalah model pertama PROTON yang diiktiraf 5 bintang ASEAN NCAP dan paling cekap penggunaan petrol bawah 7 liter bagi setiap 100 kilometer, malah Iriz juga dianggap sebagai kereta 100 peratus Malaysia. Iriz dipasarkan dalam dua variasi enjin 1.3 liter VVT (Standard dan Executive) dan 1.6 liter VVT (Executive dan Premium) pada harga RM40,000 hingga RM60,000.
PROTON atau Perusahaan Otomobil Nasional adalah cetusan idea dan ilham Bapa Pemodenan Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Idea untuk melahirkan PROTON bermula sejak tahun 1979 lagi yang bertujuan untuk mempercepatkan kemampuan industrialisasi Malaysia bagi mengimbangi negara maju.
Bagaimanapun, Kabinet hanya menyetujui Projek Kereta Nasional pada tahun 1982 dan PROTON secara rasminya ditubuhkan pada 7 Mei tahun 1983. Model pertama yang dilancarkan secara komersial ialah Saga pada 9 Julai tahun 1985. PROTON berkembang maju dengan amat pesat dan memberangsangkan.
Setahun selepas dilancarkan, pada tahun 1986, PROTON melancarkan 10,000 unit dan tahun berikutnya 50,000 yang turut dijual di Bangladesh dan Brunei.
PROTON berjaya mencapai pengeluaran ke 1,000,000 unit pada tahun 1996. PROTON memasuki fasa baharu apabila DRB-HICOM Berhad mengambil alih pada tahun 2012. PROTON adalah syarikat automotif pertama negara melancarkan pelbagai model, antaranya Waja, Wira, Neo, Savvy, GEN 2, Pesona, Exora dan Perdana.
Persoalannya, mampukah Axia dan Iriz menembusi pasaran automotif global dan mengangkat martabat industri automotif tempatan khususnya selepas Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang bakal ditandatangani kelak, termasuk pemansuhan duti import kenderaan?
Pada masa kini, ada lima pengeluar automotif terbesar dunia. Pada tahun 2013 Toyota menerajui pengeluaran dengan sebanyak 10,104,424 unit, diikuti General Motors (9,285,425), Volkswagen (9,254,742, Hyundai (7,126,413) dan Ford (5,595,483).
Uji pasaran global
Mampukah Malaysia menerobos pasaran global kenderaan bermotor Malaysia yang kini hanya baharu berusia 29 tahun, berbanding Toyota yang beroperasi 77 tahun, manakala General Motors bermula sejak tahun 1931 atau 83 tahun lalu dengan mempunyai kilang pengeluaran di 37 negara.Begitu juga Volkswagen diasaskan pada tahun 1937 adalah pengeluar kereta terbesar di Jerman pada tahun lalu dan kini memiliki antara jenama terlaris masa kini iaitu Volkswagen Golf dan Volkswagen Passat.
Malah, Volkswagen bukan saja terbabit dengan pembuatan, Volkswagen juga menjadi perusahaan dengan pengeluaran tertinggi untuk penelitian dan pembangunan automotif.
Sementara itu, Hyundai Motor Company yang menduduki tangga keempat begitu gah sebagai perusahaan multinasional Korea Selatan utama sejak tahun 1967.
Pencapaian luar biasa Hyundai adalah apabila penjualan kereta syarikat itu di Amerika Syarikat melonjak pada tahun 2013, termasuk mencatat jualan tertinggi sepanjang masa iaitu 66,000 unit pada Ogos tahun 2013.
Kenderaan Hyundai kini dijual di 193 buah negara di seluruh dunia melalui lebih 6,000 pengedar dan bilik pameran di serata dunia.
Kehebatan Hyundai yang berjaya menguasai pasaran kenderaan hanya dalam tempoh 47 tahun sewajarnya menjadi inspirasi industri automotif Malaysia. Jenama Hyundai cukup gah menaja sukan antarabangsa seperti Sukan Komanwel di Scotland dan Tenis Terbuka Melbourne, Australia, baru-baru ini.
Pengeluar kereta Ford menduduki carta kelima pengeluaran paling tinggi tahun lalu. Ford diasaskan 101 tahun lalu di Dearborn, Michigan dan masih bertahan sehingga sekarang. Ford menjadi pengeluar kereta kedua terbesar di Amerika Syarikat dan menjadi industri paling penting dalam sejarah negara Uncle Sam itu. Ford pernah mengalami sejarah jatuh bangunnya, namun kekentalan dan semangat waja membawa Ford merentasi satu kurun industri pembuatan kereta.
Saingan industri automotif
Jadi, PROTON dan PERODUA menggalas cabaran yang bukan kepalang untuk menghadapi saingan industri automotif peringkat ASEAN, Asia dan global.Sejajar dengan itu, kerajaan memperkenalkan Dasar Automotif Nasional (NAP) pada Mac tahun 2006, bertujuan untuk membantu usaha transformasi dan integrasi industri automatif tempatan dalam jaringan industri serantau dan global yang semakin kompetitif serta perlu lagi memastikan industri automotif tempatan terutama pengeluar kereta nasional berdaya tahan.
Sudah tiba masanya Malaysia dilihat sebagai hab automotif serantau bagi kenderaan EEV, meningkatkan nilai tambah secara mapan, meningkatkan eksport kenderaan dan komponen serta alat ganti, menggalakkan penyertaan Bumiputera secara menyeluruh dalam industri automotif tempatan dalam sektor pembuatan dan lepas jualan.
Kalau kita lihat prestasi industri automotif tempatan dari segi jualan agak membanggakan dari 536,905 unit (2009) kepada 627,753 (2012) dan 652,120 (2013). Ini hasil jualan PROTON dan PERODUA.
Kalau dibandingkan dengan jumlah pengeluaran kenderaan global bagi tahun 2012 adalah sebanyak 84.1 juta, manakala jualan kenderaan pula 82.1 juta unit.
Jumlah jualan bagi tahun 2013 adalah 82.8 juta unit. China, Amerika Syarikat dan Jepun menguasai kedudukan teratas bagi pengeluaran dan jualan kenderaan.
Malaysia menduduki di kedudukan ke-18 bagi pengeluaran dan ke-20 bagi jualan. Persaingan dalam kalangan negara ASEAN agak kompetitif meletakkan Malaysia di tangga ketiga selepas Thailand dan Indonesia. Kapasiti pengeluaran keseluruhan adalah 4.5 juta unit. Dari segi jualan kenderaan di rantau ASEAN adalah dianggarkan melebihi 5.2 juta menjelang 2020.
Pelancaran model Axia dan Iriz sebenarnya satu ujian menguji pasaran industri automotif tempatan, di samping usaha drastik kumpulan reka bentuk dua kereta nasional negara itu menghasilkan suatu idea yang menekankan elemen kreativiti dan inovasi.
Penulis ialah Penyelidik Sosioekonomi
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/GearTop87