Berikut adalah panduan berkenaan cermin gelap yang dipetik dari laman Facebook JPJ Malaysia. Sekadar untuk perkongsian maklumat kepada yang ingin tahu. Maklumat asal boleh di capai di pautan ini.
Rata-rata di jalan raya, kita melihat kebanyakan kenderaan menggunakan cermin gelap sama ada terus gelap (tidak nampak langsung pemandu di dalam kenderaan) atau agak gelap (berdasarkan peratus ketelusan cahaya).Malah penggunaan cermin gelap semakin mendapat sambutan oleh pemilik kenderaan. Orang ramai boleh memperolehi ‘tinted film’ di kedai-kedai aksesori kenderaan dengan begitu mudah malah ada yang berani menyatakan ‘tinted film’ yang dijual mendapat kebenaran JPJ.
Hakikatnya, JPJ tidak pernah memperakui mana-mana jenama ‘tinted film’ bagi tujuan pemakaian cermin gelap.
Ketidaksesuaian dengan cuaca Malaysia yang panas dan ditambah dengan masalah pemanasan global yang sedang melanda dunia sekarang telah dijadikan alasan pemilik kenderaan untuk menggunakan kenderaan bercermin gelap. Faktor cuaca dan cahaya matahari didakwa boleh menyebabkan kesan pada kulit manusia dan menjejaskan kesihatan. Walaupun banyak aduan diterima berhubung perkara ini, tetapi kebanyakannya didapati tidak berasas.
Mengikut MIROS, spektrum cahaya yang membahayakan kulit, mata serta menyebabkan peningkatan haba dalam kenderaan adalah berpunca daripada cahaya ultra ungu atau ultra violet (UV) yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar dan bukannya visible light yang terkandung dalam cahaya matahari. Dengan demikian, memasang kaca gelap untuk tidak memudaratkan penyakit kulit adalah satu persepsi yang salah.
Kajian mendapati permasalahan ini boleh ditangani melalui UV protection system seperti penggunaan tinted film yang bersesuaian tanpa perlu memasang kaca gelap.
Selain daripada itu, pemilik kenderaan yang menggunakan cermin terlalu gelap juga boleh meningkatkan risiko kemalangan yang berpunca daripada kadar visible light yang terlalu rendah dan dalam masa yang sama memberikan kesan negatif kepada keselamatan awam (security). Ini boleh berlaku kerana keadaan cermin gelap akan mengurangkan kejelasan penglihatan kepada pemandu untuk melihat kenderaan dari arah belakang atau sisi.
Secara realitinya, kenderaan bercermin gelap nampak lebih bergaya dan mempunyai karisma tersendiri. Pemilik kenderaan bercermin gelap ini akan menarik perhatian masyarakat sekeliling untuk mengetahui siapa yang sedang memandu atau yang memiliki kenderaan tersebut. Justeru itu, adakah berkenderaan dengan cermin gelap ini satu keperluan atau untuk bergaya semata-mata?
Berdasarkan undang-undang yang berkuat kuasa pada masa ini, di bawah Kaedah 5, Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991, kadar ketelusan cahaya menerusi cermin hadapan kenderaan (windscreen) hendaklah sekurang-kurangnya 70% diukur dengan menggunakan suatu pengukur yang ditetapkan. Manakala kadar ketelusan cahaya menerusi cermin di lain-lain bahagian kenderaan hendaklah sekurang-kurangnya 50%.
Seharus diingat bagi pemilik kenderaan yang didapati melanggar peraturan cermin gelap akan dikenakan tindakan seperti berikut:
1.JPJ mengeluarkan Notis PG1 iaitu Larangan Penggunaan Kenderaan dengan tempoh selama 10 hari. Dalam tempoh ini, pemilik kenderaan dikehendaki menukar cermin gelap kepada cermin yang mematuhi tahap ketelusan cahaya yang dibenarkan.
2.Pemilik kenderaan dikehendaki membawa kenderaan kembali ke Pejabat JPJ untuk pemeriksaan. Setelah dipastikan cermin kenderaan telah ditukar, JPJ akan mengeluarkan Notis Menarik Balik Larangan iaitu PG2.
3.Walau bagaimana pun, sekiranya pemilik kenderaan gagal mematuhi Notis PG1 (iaitu tidak membawa kenderaan kembali ke Pejabat JPJ untuk pemeriksaan), JPJ akan mengeluarkan saman JPJ 22 kerana gagal mematuhi Notis PG1.
4.Penalti bagi pemilik kenderaan yang gagal mematuhi Notis PG1 adalah kompaun maksimum RM300 dan kenderaan disenaraikan hitam sehingga Notis PG1 dipatuhi.
Oleh itu, berhati-hati dengan penggunaan cermin gelap kenderaan anda. Pastikan peratus ketelusan cahaya adalah mematuhi peraturan yang ditetapkan. Bukan tidak dibenarkan memakai cermin gelap TETAPI dengan peratus ketelusan cahaya yang dibenarkan.
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.