Volkswagen Beetle kembali dengan spesifikasi baharu
Selepas memandu Volkswagen Beetle 1.2 dan 2.0 liter (L), kini giliran ‘kumbang’ merah yang dijanakan enjin 1.4 L pula mendapat tempat di ruangan minggu ini.
Bagi mereka yang tidak mengikuti perkembangan kereta ini, ia mempunyai tiga varian berbeza selepas dilancarkan secara berperingkat-peringkat, September tahun lalu.
Volkswagen Group Malaysia mulanya membawa masuk Volkswagen Beetle 1.2 disusuli 2.0 L dan terbaru menerusi 1.4 L selepas dilancarkan beberapa bulan lalu.
Jika dilihat pada model itu, ia kelihatan sama dengan Volkswagen Beetle yang pernah disiarkan sebelum ini. Namun, hakikatnya ia menggabungkan beberapa ciri daripada Volkswagen Beetle 1.2 L dan 2.0 L.
Dari segi luaran, lampu depan tidak dihiasi bi-xenon dan LED serta rim bersaiz besar seperti Volkswagen Beetle 2.0 L.
Malah, ia masih meniru sedikit ciri Volkswagen Beetle 2.0 L apabila dipadankan dengan spoiler belakang yang besar untuk menyalurkan bentuk aerodinamik.
Di ruang kabin, papan pemuka tidak mempunyai kombinasi dua warna seperti Volkswagen Beetle 1.2 L yang tampak lebih menarik.
Bagaimanapun, masih ada persamaan antara varian itu membabitkan ruang penyimpanan barang yang dikenali sebagai Beetle Box di bahagian penumpang depan.
Sebelum ini, ramai mengetahui Volkswagen Beetle adalah model ikonik kenderaan rakyat sejak diperkenalkan pada 1938.
Bagi model kurun ke-21, ia melangkaui batasan itu apabila menggabungkan imej ikonik dengan enjin berprestasi untuk memberi kelainan kepada bakal pemiliknya.
Penulis boleh kongsi bersama dengan model kurun ke-21 ini adalah berhubung enjin 1.4 liter TSI dan ia bukan seperti generasi terdahulu yang kekurangan kuasa.
Bagaimanapun, kuasa enjin bagi model ini berbeza kerana ia dibantu dengan pengecas berkembar berbanding pengecas turbo digunakan oleh dua varian diperkatakan tadi.
Enjin bersesaran 1,390 cc yang dibantu pancitan terus dengan pengecas berkembar ini ternyata memberi keseronokan untuk pemanduan agresif, lebih-lebih lagi apabila dipadankan transmisi tujuh kelajuan klac berkembar DSG.
Biarpun bentuknya tidak sehebat Volkswagen Golf, ia tidak menjadi halangan untuk mengerah ke tahap maksimum untuk menguji tahap kelajuan jentera ini.
Jentera dihamburkan dengan 160 PS ini mampu memecut sehingga jarum meter kelajuannya melebihi 180 kilometer dalam masa singkat.
Pengguna jalan raya yang lain jangan sesekali memandang rendah model ‘kumbang’ ini kerana ia boleh memecut dari tahap pegun hingga 100 kilometer sejam dalam hanya 8.3 saat.
Malah, catatan yang tertulis dalam spesifikasinya mengatakan model ini boleh memecut sehingga 207 km/j.
Sementara itu, penulis merasakan sistem suspensinya sedikit lembut berbanding Volkswagen Beetle 2.0 L, tetapi tetap selesa ketika pemanduan di laluan kurang rata.
Dari aspek keselesaan, jentera ini tidak terlalu negatif seperti disangka.
Ini kerana ia selesa kepada semua penumpang dan tempat duduk belakang memberi kelegaan optimum. Tempat duduk belakang boleh dilipat untuk memberi ruang simpanan tambahan.
Cuma penulis kurang gemar dengan kenderaan dua pintu kerana ia memberi kesukaran kepada penumpang belakang memasuki ruang kabin.
SPESIFIKASI
ENJIN: 1,390cc, empat silinder, pancitan terus, pengecas berkembar
KUASA MAKSIMUM: 160 PS pada 5,800 rpm
TORK MAKSIMUM: 240 Nm antara 1,500 hingga 4,500 rpm
TRANSMISI: Tujuh kelajuan automatik DSG
KELAJUAN MAKSIMUM: 207 kilometer sejam (km/j)
CIRI-CIRI KESELAMATAN: Beg udara berkembar hadapan, beg udara sisi, ESP, ABS, BA, ‘Hill-Hold Control’, ISOFIX
HARGA: RM180,888
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/GearTop87