Intai-intai Perodua Axia, pengganti Viva atau pengganti Myvi?
Beberapa minggu sebelum pelancaran Perodua Axia, kami dijemput untuk memandu uji jentera tersebut di MAEPS, ataupun tapak ekspo pertanian Malaysia yang berhampiran dengan MARDI dan UPM. Di situ kesemua varian disediakan untuk wartawan permotoran merasa produk terbaru Perodua yang begitu lama dinanti-nantikan.
Setelah mendengar penjelasan tentang produk, kami dibenarkan untuk melabuhkan diri di kerusi pemandu Axia. Sebelum itu kami dibenarkan membelek kereta tersebut luar dan dalam, tetapi kebanyakan kereta masih lagi bertutup dengan pelekat penyamaran kerana Perodua tidak mahu sebarang gambar yang tak diluluskan bocor kepada awam.Kabin Axia boleh dikatakan tipikal rekabentuk Daihatsu/Perodua yang mengutamakan ruang kabin selapang mungkin dan kemasan yang agak mudah. Rekabentuk papan pemuka tidak begitu menyerlah tetapi menawarkan ‘ergonomik’ yang baik. Semua suis dan tombol mudah dicapai dan ruang simpanan barang juga mudah di akses dan ini sudah tentu antara sifat asas model dari Perodua yang ditujukan kepada pembeli biasa yang mahukan kemudahan dan keceriaan dalam kereta mereka.
Walaupun dari luar Axia kelihatan comel, tetapi ruang kabin adalah lapang dan boleh dikatakan hampir sama dengan ruang dalaman Myvi. Ini merupakan satu pencapaian yang boleh dibanggakan oleh jurutera dan pereka bentuk Perodua. Jelas mereka telah belajar banyak dari pakar kereta kecil, Daihatsu yang terkenal dengan kebolehan mereka mencuri ruang dan menghasilkan kabin yang lapang walaupun badan kereta kecil.
Dalam kemewahan ruang, Axia tidak pula melebihkan kemewahan dari segi spesifikasi kerana mreka memberi fokus kepada sifat mampu milik produk Perodua. Dengan harga permulaan RM24,999 dan pertengahan pada RM32,000, ianya merupakan antara kereta yang paling mampu dimiliki di Malaysia, walaupun mungkin ada yang akan mengatakan bahawa ianya hanya sebuah hatchback.
Rekebentuk luaran Axia juga agak konservatif, keutamaan diberikan kepada pengkadaran dan cara memaksimakan ruang dan praktikaliti. Hasilnya ialah kereta yang mungkin tidak akan membuatkan kita teruja dengan fizikalnya tetapi berasa selesa dengan kebolehannya. Kereta yang dibuat di kilang serba baru milik Perodua di Serendah ini dikatakan menawarkan kualiti global dan ianya paling terserlah dari kualiti cat yang licin dan berkilat.
Kualiti cat bukanlah sesuatu yang kita selalu fikirkan apabila hendak membeli kereta tetapi ianya memainkan peranan yang penting secara bawah sedar. Walaupun kita mungkin tidak melihat kualiti cat secara dekat, namun minda kita dapat membezakan antara kualiti rendah dan kemasan yang licin dan berkilat.
Dari segi kualiti pemasangan, rasanya tak ramai yang berasa was-was dengan Perodua, dan Axia ini juga serupa. Yang menjadi persoalan ialah samada ianya seronok untuk dipandu. Ketika memberi penerangan mengenai Axia, Pengarah Urusan Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh dengan jelas menyatakan ini bukan kereta untuk dirempit, kereta ini untuk dipandu dengan berhemah di bandar.
Ketika uji pandu singkat di sekitar MAEPS, kami dapati beliau bercakap benar, enjin tiga silinder Axia memang boleh dikerahkan hingga ke garisan merah namun bunyinya agak kurang merdu apabila melepasi 5,000rpm. Bunyi tipikal tiga silinder seperti ‘kumbang besar’ langsung tidak membangkitkan selera untuk memandu laju dan stereng yang agak ringan juga membuatkan kita berasa lebih selamat jika ia dipandu secara berhemah.
Ini sebenarnya bukanlah satu kritikan terhadap karektor Axia, kerana kebanyakan pembelinya tidak akan merempitkan kereta ini dan akan memahami bahawa ianya sebuah kereta bandar yang direka untuk kehidupan harian. Secara ringkas, seringkas pandu uji Axia, boleh kami katakan bahawa Axia menepati kehendak pasaran hampir 90% tetapi ianya bukanlah sebuah kereta yang membuat kita teruja.
Shamsul Yunos (Editor Funtasticko.net)
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/GearTop87
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.