Bahaya 'Tayar Gam' seperti Bom jangka di jalanan

KEADAAN tayar celup kenderaan berat yang mudah meletup berikutan dihasilkan tanpa mematuhi piawaian.

klik 👉 Follow Telegram GearTop (large-bt)



Kuala Lumpur: Ibarat pembunuh senyap di atas jalan apabila penggunaan tayar celup atau turut dikenali sebagai 'tayar gam' terus berleluasa terutama dalam kalangan pemandu lori di negara ini.

Pemilihan tayar celup dianggap paling popular dalam kalangan pemandu dan pemilik syarikat kenderaan berat berikutan harganya hampir 60 peratus lebih murah berbanding tayar baharu.

Pakar automotif dan keselamatan jalan raya yang juga mantan Pengarah Bahagian Kejuruteraan Automotif Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Profesor Datuk Ir Mohamad Dalib berkata, keadaan diburukkan dengan kemasukan tayar celup dari luar negara dipercayai diseludup untuk pasaran tempatan.

Beliau berkata, berdasarkan kajian dilakukan, penggunaan tayar celup atau tayar terpakai musim sejuk dari negara luar itu turut menyumbang kepada punca peningkatan nahas jalan raya di negara ini terutama membabitkan kenderaan berat.

"Walaupun ada kilang diberi kelulusan menghasilkan tayar celup namun ada pihak tertentu menyeludup tayar terpakai atau menghasilkan tayar celup tidak berkualiti untuk mengaut keuntungan.


"Secara asasnya tayar jenis ini terdedah kepada bahaya dan mudah meletup apatah lagi jika lapisan bahagian dalam tayar terlalu nipis," katanya.

Menurutnya, penggunaan tayar celup musim sejuk ini boleh dikesan berikutan lapisan bunga tayar lebih kasar dan tebal berbanding tayar untuk permukaan cuaca khatulistiwa.

"Namun, penggunaan tayar celup musim sejuk ini akan menyebabkan cengkaman melekat berlebihan pada permukaan jalan apabila brek kenderaan ditekan.

"Ia mudah berlaku sama ada pada permukaan basah atau kering. Disebabkan itu, JPJ letak syarat ketebalan standard minimum bunga tayar kenderaan tidak boleh kurang dari 1.6 mm," katanya.

Malah, menurutnya, tayar celup ini mudah meletup dan meninggalkan cebisan tayar di atas lebuh raya.

Picture
TAYAR celup mudah meletup dan meninggalkan cebisan di jalan raya.


"Cebisan tayar atau road gator (buaya jalan) ini amat berbahaya berikutan kerap kali menjadi punca kemalangan kepada penunggang motosikal dan kemalangan pada kereta yang melanggarnya.

"Melalui kajian, tayar celup haram tidak mempunyai daya tahan terhadap haba. Akibatnya getah bunga baharu mudah tertanggal dan meletup. Ia ditambah dengan faktor lain antaranya tayar kurang tekanan udara, lori berjalan tanpa henti untuk jangka waktu panjang dan muatan beban melebihi had," katanya.

Sementara itu, seorang pemandu lori satu tan yang mahu dikenali sebagai Hazil, 35, mengakui penggunaan dan penjualan tayar celup haram dalam kalangan pemandu lori bukan perkara pelik.


Dia yang beroperasi di Kampar, Perak memaklumkan tayar celup tidak sah boleh dibeli dan ditawarkan kebanyakan bengkel membaiki kenderaan berat.

"Biasanya tayar celup untuk lori satu tan boleh dibeli semurah RM160 berbanding tayar baharu dijual bermula harga RM370.

"Kami biasa menggunakan perkataan tayar gam ketika berurusan dengan pemilik bengkel. Tetapi, tayar gam ini hanya tahan sekitar tiga hingga empat bulan sahaja.

"Jika terus digunakan, tayar gam akan bengkak, tertanggal atau mudah meletup. Keadaan sekatan pergerakan penuh (SPP) menyebabkan ramai pemandu lori memilih tayar celup kerana kedudukan kewangan tidak begitu bagus," katanya.

Tayar mesti disahkan Sirim

Pengeluar tayar celup haram sentiasa dalam pemantauan pihak penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, KPDNHEP berperanan menguatkuasakan undang-undang untuk melindungi pengguna dan meningkatkan etika peniaga melalui penguatkuasaan dilakukan.

Picture
Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam


Menurutnya, KPDNHEP sentiasa menjalankan pemeriksaan dan menyiasat aduan pengguna terhadap premis yang disyaki melanggar peruntukan perundangan dikuatkuasakan Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP.

"Langkah itu bagi memastikan persekitaran sihat dan beretika bagi melindungi pengguna daripada dieksploitasikan oleh peniaga.

"Ada peruntukan perundangan dikuatkuasakan membabitkan penggunaan tayar celup iaitu di bawah Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Tayar Pneumatik) 2012.


"Peruntukan perundangan ini adalah berkaitan penandaan terhadap tayar celup. Di dalam perintah ini, mana-mana individu membekalkan atau menawarkan tayar pneumatik perlu ada tanda sebagaimana yang ditetapkan dalam perintah.

"Tayar celup pneumatik bagi kenderaan penumpang dan kenderaan perdagangan adalah tayar pneumatik mematuhi Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959 dan mematuhi kaedah 30 atau kaedah 46, kaedah-kaedah kenderaan bermotor.

"Tayar celup pneumatik menggunakan penandaan standard Malaysia MS 224:2005," katanya.

Tayar celup ini industri dilesenkan di bawah KPDNHEP dan tayar celup berkualiti mesti disahkan Sirim melalui pengiktirafan ujian makmal sebelum sijil pengesahan dikeluarkan.

Taktik Sewa tayar lain untuk lepasi Puspakom

Penipuan licik. Itu antara tindakan segelintir pemilik kenderaan berat yang menyewa tayar di bengkel tertentu sebelum hadir menjalani pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Picture
Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom Sdn Bhd (Puspakom), Mohammed Shukor Ismail


Perkara itu didedahkan Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom Sdn Bhd (Puspakom), Mohammed Shukor Ismail ketika diajukan soalan membabitkan isu tayar celup dan keselamatan kenderaan berat.

Menurutnya, tindakan segelintir pemilik kenderaan berat menyewa tayar di bengkel untuk lulus pemeriksaan Puspakom bukan perkara baharu.

"Selepas lulus pemeriksaan, mereka tukar kembali tayar asal (termasuk tayar celup) yang sudah haus dan ia di luar kawalan Puspakom. Perkara ini akan terus berlaku selagi ada pihak yang menawarkan khidmat sewaan tayar," katanya dalam sesi temu bual eksklusif secara maya dengan Harian Metro.


Beliau berkata, penggunaan tayar celup pada kenderaan perdagangan dan pengangkutan awam adalah selamat selagi mana pembuatannya mengikut spesifikasi ditetapkan, mendapat pensijilan sah Sirim Berhad (Sirim) dan menjalani penyelenggaraan secara berkala.

Shukor berkata, tahap keselamatan tayar celup juga terbukti kerana bukan hanya digunakan kenderaan darat, tetapi juga pengangkutan udara seperti pesawat.

Beliau berkata, pihaknya teliti dalam menjalankan pemeriksaan termasuk bahagian tayar bagi memastikan sesebuah kenderaan itu selamat sebelum digunakan di atas jalan raya.

SOURCE: Harian Metro

Kongsikan artikel ini:
***Jangan lupa like dan follow facebook kami di GearTop dan langgan saluran Telegram GearTop untuk kemas kini berita terkini.




Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Isu Semasa


Hiburan