Laporan tentang pihak kerajaan akan menggantikan Proton Perdana V6 Eksekutif yang diguna sebagai kenderaan rasmi telah pun berlegar-legar sebelum ini. Bermacam-macam versi cerita boleh didapati. Beberapa bulan lepas kami ada kongsikan satu surat pekeliling yang mengumumkan penggantian Proton Perdana kepada Honda Accord.
Sehingga ke hari ini, Proton Perdana digunakan oleh Anggota Pentadbiran, Yang di-Pertua dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara/Dewan Rakyat, Hakim dan Pegawai Perkhidmatan Awam Gred Utama/Khas A. Manakala Pegawai Perkhidmatan Awam Khas/Gred B dan C yang dipilih, menggunakan Proton Inspira sebagai kenderaan rasmi.
Beberapa keping gambar spyshot Proton Perdana berasaskan Honda Accord generasi kelapan.
Strategi Proton yang lebih menumpukan perhatian kepada model-model di dalam segmen “mampu milik”, dengan tidak memberikan fokus kepada penghasilan model untuk segmen D, disebabkan permintaan yang kurang. Mungkin ramai antara kita bersetuju dengan langkah tersebut. Sebelum ini, beberapa calon telah pun ditawarkan untuk di “rebadge” bagi menggantikan Proton Perdana, antaranya Mitsubishi 380, Nissan Fuga (Infiniti M) dan yang paling terbaru Honda Accord.
Dalam bulan Oktober, Datuk Hamim Samuri yang merupakan Timbalan Menteri di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah mendedahkan di dalam Parlimen bahawa Proton sedang membangunkan model pengganti kepada Perdana berasaskan casis model dari Honda, dan pegawai-pegawai kerajaan telah melakukan pemeriksaan ke atas kereta tersebut dan telah membuat keputusan untuk menggunakannya, dan bukannya Honda Accord.
Dari gambar-gambar yang di bawah, gril hadapan ditutup, rim aloi yang digunakan kelihatan lebih kurang sama dengan rim yang digunakan pada Proton Exora Prime. Bahagian dalaman, terdapat sedikit pertukaran, antaranya, lambang Honda pada stereng diganti dengan lambang Proton.
Juga dapat dilihat adanya paddle shifters pada stereng dan butang VSA, dan ini membawa kepada satu kesimpulan, varian Honda Accord 2.4 VTi-L yang di”rebadge“. Rumor yang mengatakan Proton akan menggunakan enjin Petronas E01e masih belum dapat dipastikan. Adakah teknologi kebanggaan Proton, “Lotus Ride Handling” juga akan dilengkapi untuk Proton Perdana ini? Sama-samalah kita nantikan.
Sumber: Paultan