Juruterbang Itali cipta rekod pertama terbang dalam terowong, capai kelajuan 245km/j

Pesawat Zivko Edge 540 V2 itu diterbangkan melalui dua terowong. - Red Bull Content Pool

TIADA siapa pernah menerbangkan kapal terbang melalui terowong sebelum ini. Dan Dario Costa baru-baru ini memecahkan rekod dunia sebelum kita mula sarapan pagi.

Pada awal pagi selepas subuh, Dario Costa yang juga seorang juruterbang lumba dan aksi lagak ngeri profesional menerbangkan pesawat Zivko Edge 540 miliknya melalui dua terowong Çatalca Tunnels di lebuhraya Marmara di utara Turki.

Costa menerima pengiktirafan daripada Guinness World Records atas aksi beraninya itu. – Online6

Dengan lebih dua dekad pelbagai pengalaman penerbangan, juruterbang berusia 41 tahun itu telah mencatatkan lebih 5,000 jam penerbangan. Lebih separuh darinya adalah dari aerobatik prestasi tinggi.

Costa juga sebelum ini merupakan juruterbang Itali pertama yang memenangi Red Bull Air Race Challenger Class. Dia telah lama mengimpikan untuk melakukan Tunnel Pass ini, dan merupakan aksi paling sukar dan merbahaya pernah dilakukannya.


Dengan lampu malap dalam dinding konkrit melengkung, Costa berlepas di terowong pertama kira-kira jam 6:43 pagi waktu tempatan. Waktu sebegini memberikan pencahayaan paling optima untuknya.

Ruang yang sempit bermakna dia perlu memastikan pesawat sentiasa terbang hanya beberapa inci dari permukaan jalan, dengan ruang untuk kesilapan yang sangat kecil. Sekali terbersin, pasti berlipat pesawatnya di dalam terowong!


Cabaran lain adalah perubahan aliran udara dan pengendalian pesawat itu yang sangat sensitif, memerlukan reaksi kurang dari 250 milisaat untuk Costa membuat pembetulan berterusan semasa penerbangan.

Antara saat paling kritikal ialah semasa melalui ruang 360 meter antara dua terowong kerana pesawat ringan itu terdedah kepada angin lintang sambil Costa mengemudi dengan berhati-hati memasuki terowong kedua.


“Segalanya berlaku sangat pantas, tetapi semasa saya keluar dari terowong pertama, pesawat mula bergerak ke kanan kerana angin lintang dan di dalam kepala saya, semuanya menjadi perlahan dalam saat itu,” terang Costa.



“Saya bertindak balas dan kekal fokus menghalakan pesawat ke laluannya untuk memasuki terowong kedua. Kemudian di dalam kepala saya, semuanya menjadi pantas kembali.”

Costa terbang dalam kelajuan purata kira-kira 245km/j dan selepas keluar sahaja dari terowong kedua, dia terus membuat lengkungan kemenangan ke atas sebelum mendarat.


Dari mula berlepas hingga keluar terowong kedua, penerbangan itu mencatatkan perjalanan 2.26km dan dalam masa kurang 44 saat, Costa telah mencipta rekod Guinness World Record yang sah.

Guinness World Record juga mengiktiraf empat rekod lagi iaitu kapal terbang pertama terbang melalui terowong, penerbangan paling lama melalui bawah halangan, kapal terbang pertama melalui dua terowong, dan kapal terbang pertama berlepas di dalam terowong. - engear.tv

SOURCE: RED BULL

Kongsikan artikel ini:
***Jangan lupa like dan follow facebook kami di GearTop dan langgan saluran Telegram GearTop untuk kemas kini berita terkini.




Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Isu Semasa


Hiburan