Kita sering diceritakan mengenai kenderaan cekap tenaga (EEV) apabila menyentuh berkenaan kereta hibrid atau elektrik, tetapi definisi sebenar EEV dalam konteks Malaysia masih kabur dan tidak difahami oleh pengguna di negara ini.
Terdapat tiga jenis enjin kenderaan yang dirangkumkan dalam EEV seperti hibrid, elektrik dan enjin pembakaran dalam (Internal Commercial Engine) yang biasa digunakan ketika ini atau dikenali sebagai ICE dalam sektor automotif.Dua cara untuk menentukan standard EEV di dunia iaitu yang pertama adalah jumlah penggunaan minyak untuk jarak tertentu berdasarkan kelas berat kenderaan dan kedua adalah berdasarkan berat pembebasan gas karbon dioksida (Co2) untuk setiap kilometer (km) perjalanan.
Unit untuk perkiraan cara satu adalah (km/L) dan (g/km) untuk cara dua.
Di Malaysia, cara dua tidak praktikal kerana standard minyak tempatan masih pada tahap EURO2M akan mengandungi kandungan sulfur sebanyak 500 parts per million (ppm) berbanding standard EURO4M yang hanya mengandungi 50 ppm sulfur.
EURO4M sudah menjadi standard biasa di dunia dan beberapa negara ASEAN lain telah pun bergerak ke EURO3M dan bakal ke EURO4M dalam tempoh terdekat. Hanya Malaysia dilihat terkebelakang ketika ini disebabkan faktor subsidi. Perkiraan kasar tambahan lapan sen seliter jika pengguna mahukan EURO4M berdasarkan kos tapisan.
Pengguna perlu faham, semakin tinggi standard EURO berkenaan tidak bermaksud kita perlu menggunakan kualiti Research Octane Number (RON) yang lebih tinggi. Di Eropah, RON95 dan RON97 digunakan cuma kadar tapisan sulfur lebih baik.
Ketika ini, penentuan status EEV di Malaysia adalah menggunakan cara satu. Dasar Automotif Nasional (DAN) yang akan diumumkan bulan depan akan menggariskan tahap keberkesanan tertentu (km/L) yang perlu dilepasi oleh sesebuah kenderaan untuk mendapat status EEV.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Automotif Malaysia (MAI), Mohamad Madani Sahari berkata, DAN akan menggariskan panduan untuk memperoleh status EEV dan semua pengeluar kereta yang telah beroperasi di Malaysia akan beralih ke status ini menjelang 2016.
"Bagi pengeluar baharu yang mahu menjalankan proses pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia, lesen hanya diberikan jika mereka mematuhi status EEV dan tiada insentif cukai EEV yang diperoleh seperti pengeluar sedia ada. Mereka boleh menikmati insentif bebas cukai eksport ke ASEAN jika menggunakan 40 peratus komponen serantau.
"Langkah ini bagi melindungi dan memberi masa kepada pengeluar kereta tempatan dan yang telah beroperasi di sini untuk membangunkan teknologi mereka sehingga mencapai status EEV," katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, dasar sebelum ini yang menetapkan proses CKD hanya boleh untuk kenderaan 1.8L dan berharga RM150,000 ke atas akan dihapuskan bagi membuka pasaran automotif Malaysia untuk menjadi hab EEV di ASEAN.
"Mereka akan diberikan kebebasan untuk memilih teknologi atau kapasiti enjin kereta yang akan dikeluarkan di sini. Enjin ICE dibenarkan tetapi mestilah melepasi syarat DAN.
"Dijangka menjelang 2016 pasaran automotif negara akan terbuka sepenuhnya dan semua pihak akan bersedia untuk bersaing di pasaran serantau," jelasnya.
Ditanya apakah DAN akan menyentuh usaha menaik taraf standard minyak kepada EURO4M, beliau berkata, perkara berkenaan menjadi isu penting kerana perkembangan EEV perlu disokong oleh kualiti minyak.
Antara langkah yang diambil kerajaan adalah melalui Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang yang mampu mengeluarkan minyak standard EURO4M.