PROTON yakin Lotus dapat dipulihkan secepat mungkin
PUTRAJAYA: Proton Holdings Bhd menyasar dapat memulihkan secepat mungkin operasi serta kedudukan kewangan anak syarikat milik penuhnya di United Kingdom (UK), Group Lotus Plc.
Pengerusi PROTON, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata pada masa ini sebahagian daripada operasi pengeluar kereta sport itu yang berpangkalan di Norfolk, England sudah dapat dipulihkan selepas pengurusannya disusun semula.“Kami berharap dapat memulihkan sepenuhnya Lotus. Lotus ialah sebuah pengeluar kereta yang kecil, namun bilangan yang dikeluarkannya tetap mencecah ribuan unit.
“Strategi bagi Lotus mungkin berlainan (berbanding kereta penumpang biasa), namun Proton sebagai syarikat induk kepada Lotus perlu memastikan syarikat itu terus mengeluarkan kereta yang berkualiti dan dapat dijual di pasaran besar seperti Eropah dan Amerika Syarikat (AS),” katanya dalam satu temubual dengan BH di Yayasan Kepimpinan Perdana, baru-baru ini.
Mengikut Dr Mahathir, masalah Lotus disebabkan kelemahan pengurusan terdahulu sehingga memaksa Proton mengambil tindakan drastik menyingkirkan Ketua Pegawai Eksekutif bagi memulihkan semula syarikat itu yang sinonim dengan model Esprit, Elan, Europa dan Elise.
“Pengurusan terdahulu tidak melakukan yang terbaik, kami terpaksa memecat bekas Ketua Pegawai Eksekutif kerana dia menghentikan pengeluaran kereta. Dia mahu mengeluarkan lima kereta baharu dan akibatnya Lotus menghentikan pengeluaran.
“Masalah kami di sana adalah vendor kerana jumlah pengeluaran Lotus yang kecil, menyebabkan vendor kurang mengambil berat dengan syarikat itu.
“Di Malaysia, PROTON lebih besar daripada vendor, sebaliknya Lotus pula lebih kecil berbanding vendor. Jadi kita perlu berbelanja lebih berhati-hati,” katanya.
Lotus dimiliki oleh DRB-HICOM menerusi PROTON yang membeli pengeluar kereta UK itu selepas bekas pemiliknya, Romano Artioli diisytiharkan bankrap pada 1996.
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date
Tags