Harga Mitsubishi ASX kini lebih murah di pasaran Malaysia

Model SUV pemasangan tempatan tampil dua varian pacuan

Mitsubishi Motors Malaysia akan menampilkan kenderaan utiliti sukan (SUV) pemasangan tempatan (CKD), Mitsubishi ASX, hujung bulan ini, yang ditawarkan pada harga lebih kompetitif berbanding model sebelumnya.

Ketua Eksekutifnya, Tetsuya Oda, berkata model penuh gaya itu didatangkan dengan dua varian iaitu pacuan dua roda (2WD) dan pacuan empat roda (4WD), masing-masing dijual pada harga atas jalan tanpa insurans RM114,269.50 dan RM128,879.50.

Katanya, tempahan untuk Mitsubishi ASX CKD itu dibuka di 57 bilik pameran Mitsubishi Motors di seluruh negara, mulai semalam.


“Pengenalan SUV pada harga jualan mampu milik ini bagi memanfaatkan permintaan pasaran bagi SUV bersaiz sederhana di pasaran negara ini. Ia sebahagian strategi pengembangan perniagaan Mitsubishi Motors Corporation (MMC) dalam pasaran baru muncul,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.


Sebelum ini, Mitsubishi Motors hanya memasarkan ASX 2WD, yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun dan dijual pada harga atas jalan tanpa insurans RM139,981.50, sebelum menampilkan model ASX 4WD CKD.

Oda berkata, kedua-dua varian ASX baru berkenaan dipasang di kilang Tan Chong Motor Assemblies Sdn Bhd di Segambut, Kuala Lumpur, dengan menawarkan pelbagai fungsi menarik.


Katanya, ia termasuk Auto Rain & Light Sensor, tempat duduk kulit, sistem navigasi GPS, sensor meletak kenderaan hadapan dan belakang, kamera mengundur, pendingin hawa automatik serta High Contrast Speedometer.

“Semua model yang dikeluarkan di seluruh dunia dikawal oleh standard kualiti tinggi yang ditetapkan MMC bagi memastikan tahap kualiti adalah konsisten. Ia bermakna kereta yang dipasang di Malaysia juga mempunyai tahap kualiti sama dengan model yang dipasang di Jepun,” katanya.


Model ASX 4WD terbaru yang diperkenalkan di pasaran negara ini, turut ditawarkan dengan pakej tambahan seperti bumbung panorama, Paddle Shifter, butang Push Start dan cermin dengan lapisan keselamatan.

ASX didatangkan dengan enjin MIVEC 2.0 liter yang mampu menjana 148 kuasa kuda (hp) dan kilasan 197 Nm, selain dilengkapi teknologi INVECS-III CVT bersama fungsi mod Sports yang ditala untuk kuasa pecutan daripada sebarang kelajuan.


Model ASX yang dibangunkan di Malaysia juga menggunakan kejuruteraan kecekapan bahan api iaitu 13.2 kilometer bagi setiap liter.

Lebih menarik, Mitsubishi ASX dengan saiz sederhana juga mudah dikendalikan dengan pusingan radius 5.3 meter, terbaik dalam kelasnya. 

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.

Isu Semasa


Hiburan