Ada berita yang saya kira agak menarik
mengenai Perodua (Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd) hari ini, walaupun
ia tidak dikeluarkan secara rasmi oleh pihak pengurusan Perodua sendiri.
Menurut laporan dari akhbar Berita
Harian, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telah
mengeluarkan kenyataan bahawa Perodua akan mengeluarkan model kereta
baharu dengan harga paling murah di pasaran tempatan, mulai tahun depan.
Model baharu yang dipercayai masih di
dalam segmen kereta kompak itu dikatakan bakal menawarkan enjin yang
lebih cekap dan ekonomi di samping dilengkapkan dengan aspek keselamatan
dan spesifikasi yang lebih canggih, namun masih mengekalkan kualitinya.
Perdana Menteri berkata sedemikian
sewaktu ditemui pemberita pada majlis sambutan Gala Raya PERODUA sempena
ulang tahun ke-20 syarikat kereta nasional kedua itu di ibu pejabat
PERODUA, Sungai Choh, Rawang, Selangor, yang diadakan semalam.
Berdasarkan khabar angin dan ramalan
sebelum ini, Perodua didakwa akan menggantikan model Perodua Viva dengan
model baharu setelah kitaran hayat model kompak tersebut kini sudah
sampai ke tahun yang kelima.
Model baharu yang dimaksudkan itu
dipercayai masih mengekalkan formula yang sama seperti mana diamalkan
Perodua sebelum ini, iaitu melakukan proses ‘rebadging’ kenderaan
keluaran Daihatsu dari Jepun, kemungkinan besar model tersebut ialah
Daihatsu Mira e:s.
Satu lagi kemungkinan ialah Perodua
bakal melancarkan model terbaharu Daihatsu Ayla yang akan diperkenalkan
ke pasaran Indonesia tidak lama lagi, dengan nama baharu Perodua Ayla
khusus untuk pasaran Malaysia. Menurut Daihatsu Indonesia, Ayla ialah
sebuah model hijau berkos rendah yang akan ditawarkan pada harga mampu
milik.