Proton Iriz lonjak imej kereta nasional!
Teruja!
Setelah sekian lama menanti dengan pelbagai panggilan nama bermula dengan nama kod P3-20A, kemudiannya dikenali GSC diikuti PCC, kini sah Iriz dipilih sebagai nama rasminya.Dilancarkan oleh Pengerusi Proton, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad di tempat kelahirannya Tanjung Malim.
Iriz bakal mengubah persepsi rakyat Malaysia untuk memilih kereta yang lebih selamat pada harga sangat kompetitif.


Rekaan hadapannya cukup bergaya dan garang terutama di bahagian lampu utama yang bersambung dengan sayap Proton dan jeriji hadapan membentuk “single graphic face”.

Lampu LED nyalaan siang hanya untuk varian Premium manakala lampu posisi dibahagian bawah lampu hadapan diberikan untuk varian Standard dan Executive.
Ruang kabinnya juga begitu luas dengan ruang kepala, bahu, kaki yang agak selesa.
Untuk varian Standard dan Executive kemasan tempat duduknya menggunakan fabrik manakala untuk varian Premium akan mendapat kemasan kulit sepenuhnya.
Susun atur papan pemukanya walaupun agak ringkas tetapi nampak moden dan ranggi.
Nampaknya Proton kali ini begitu menitikberatkan penggunaan bahan, tekstur dan warna hingga membuatkan ruang dalaman Iriz lebih mewah berbanding model Proton yang lain.
Tempat duduk bahagian belakang boleh dilipat 60:40 untuk memberikan ruang lebih untuk bagasi kerana ruang sedia ada hanya berkapasiti 215 liter, agak terhad jika dibandingkan dengan pesaingnya.
Kali ini Proton memberikan tujuh pemegang cawan dan 2 tempat mengecas dengan 2 port USB. Varian 1.6 liter dilengkapi skrin sesentuh 6.2 inci yang dilengkapi sistem navigasi dan kamera undur manakala varian 1.3 liter akan mendapat unit pemain audio biasa.
Iriz adalah model yang pertama menggunakan enjin VVT serba baru yang memberikan prestasi terbaik dan penjimatan petrol.
Enjin VVT ini ialah pembangunan selanjutnya dari enjin IAFM+ dan CFE sedia ada.
Perbezaan utama ialah aplikasi teknologi pengurangan geseran seperti piston ring tegangan rendah, hard anodised piston dan tappet mekanikal, pancarongga ekzos bersepadu dengan pemangkin (maniverter), alternator pintar dan sistem VVT dengan sistem pengurusan enjin elektronik baharu. Iriz turut dilengkapi stering kuasa elektronik yang sensitif kelajuan dan mampu menjimatkan petrol.
Dari segi keselamatan Iriz boleh dikatakan antara yang terbaik dalam kelasnya dan ini terbukti dengan penarafan 5-bintang ASEAN NCAP yang baru sahaja diumumkan semalam.
Kesemua varian akan dilengkapi ciri keselamatan tertinggi yang dikenali sebagai Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC) yang merangkumi ABS dengan EBD, Bantuan Brek, Sistem Kawalan Cengkaman, ESC dan Hill Hold Assist selain ISOFIX dengan top tether.
Hanya jumlah beg udara yang membezakan, dua untuk varian Standard dan Executive manakala enam untuk varian Premium. Kerangka Iriz juga amat kukuh dengan penggunaan Ultra High Strength Steel dan Hot Press Forming.
Ciri-ciri lain yang menarik pada Iriz adalah penggunaan Keyless Entry dan butang penghidup enjin untuk varian Premium.

Harga yang ditawarkan juga cukup menarik, bermula dari RM42,438 untuk varian 1.3 Standard (Manual) hingga RM62,888 untuk varian 1.6 Premium (CVT).