KUALA LUMPUR: PERODUA dan Daihatsu Motor Co of Japan akan melabur kira-kira RM600 juta untuk membina kilang pengeluaran enjin baharu di Sendayan, Negeri Sembilan.
Daihatsu dan PERODUA masing-masing akan menguasai 51 peratus dan 49 peratus kepentingan ekuiti dalam syarikat pengeluaran enjin baharu itu, yang akan mempunyai modal berbayar RM165 juta.Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Aminar Rashid Salleh, berkata pelaburan baru itu adalah sebahagian program transformasi PERODUA untuk menjadi sebuah syarikat yang berdaya saing di peringkat global, dalam aspek kualiti, kos dan penyampaian serta memperkemas eko-sistem pengeluaran enjin dan transmisi dalam industri automotif.
Kilang pengeluaran enjin baharu itu yang dijangka mula dibina pada September ini, dibangunkan di tapak seluas 142,000 meter persegi akan menggajikan 150 pekerja baru dan mempunyai keupayaan pengeluaran sebanyak 140,000 unit setahun.
Ini adalah pelaburan kedua Daihatsu di Sendayan, selepas pembinaan kilang pengeluaran gear automatik, Akashi Kikai Industry Malaysia Sdn Bhd, yang mula beroperasi pada Mac lalu.
PERODUA mempunyai 10 peratus kepentingan ekuiti dalam syarikat itu.
- BERNAMA